Saturday, August 14, 2010

Malu kembali ke pangkuan suami selepas main kayu tiga

Posted by admin on July 2nd, 2007 No Comments Printer-Friendly

Oleh Musa Awang
SAYA sudah berkahwin selama empat tahun. Sejak setahun kebelakangan ini, saya berkenalan dengan lelaki sudah berkahwin, seorang usahawan kaya. Selepas itu saya keluar dari rumah dan tinggal di rumah yang dibiayai lelaki itu. Saya tinggalkan kedua anak bersama suami. Sejak itu hidup saya bergelumang dosa. Suami saya seorang yang baik, keperluan nafkah dan rumah tangga cukup dan sederhana. Boleh dikatakan saya tidak ada alasan untuk meminta cerai daripada suami.
Tetapi saya buta kerana mengejar kemewahan yang dijanjikan lelaki itu. Akhirnya lelaki itu tinggalkan saya. Saya mahu balik kepada suami, tetapi malu kerana menjadi isteri derhaka. Apa yang perlu saya buat?
Shima,
Ulu Klang.

Dalam kesibukan mengejar duniawi dan kebendaan, kadang-kala kita lupa hukum hakam suami isteri dalam perkahwinan. Arus permodenan sedikit sebanyak mengikis keimanan dan ketakwaan kepada Allah SWT.

Islam meletakkan tugas dan tanggungjawab besar dan serius kepada seorang isteri terhadap suaminya. Bahkan suami adalah orang yang paling berhak ke atas isterinya selepas ibu. Boleh dikatakan syurga seorang isteri terletak di bawah telapak kaki kanan ibu dan kaki kiri suami.

Ia ditegaskan Rasulullah SAW dalam hadis diriwayatkan Saidatina Aisyah yang bermaksud: “Aku pernah bertanya kepada Baginda, Siapakah orang yang paling berhak ke atas isteri? Baginda menjawab: Orang yang paling berhak kepada isteri ialah suaminya. Kemudian aku bertanya lagi, Dan siapakah orang yang paling berhak ke atas suami? Baginda menjawab: Orang yang paling berhak ke atas seorang suami ialah ibu kandungnya.” (Hadis riwayat Bazar dan al-Hakim)

Hendak menunjukkan betapa tingginya tahap kepatuhan seorang isteri kepada suaminya, Baginda SAW bersabda yang bermaksud: “Sekiranya aku dibenarkan untuk memerintahkan seseorang bersujud kepada orang lain, nescaya aku perintahkan seorang isteri bersujud kepada suaminya.” (Hadis riwayat Tirmidzi dan Ibnu Hibban)
Sesetengah orang percaya nusyuz bersangkutan dengan isteri keluar rumah tanpa izin, ada hubungan dengan lelaki lain atau apabila isteri menuntut cerai. Sebenarnya masih banyak aspek nusyuz yang perlu didedahkan. Menyakiti hati suami juga sebahagian daripada nusyuz.

Rasulullah SAW semasa peristiwa Israk dan Mikraj, melihat ramai ahli neraka adalah daripada kalangan golongan wanita. Sahabat di kalangan wanita bertanya kenapa? Lalu Baginda SAW menjawab: “Kebanyakan ahli neraka adalah terdiri daripada kaum wanita. Maka menangislah mereka (sahabat wanita) dan bertanya salah seorang daripada mereka: Mengapa terjadi demikian, adakah kerana mereka berzina atau membunuh anak atau kafir? Baginda menjawab: Tidak. Mereka ini ialah mereka yang menggunakan lidah mereka menyakiti hati suami dan tidak bersyukur akan nikmat yang disediakan oleh suaminya.” (Hadis riwayat Muslim)

Membuat ibadat sunat tanpa izin suami boleh membawa kepada nusyuz isteri. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Tidak boleh seorang isteri mengerjakan puasa sunat jika suaminya ada di rumah serta tidak dengan izinnya, dan tidak boleh memasukkan seorang lelaki ke rumahnya (walaupun saudara-mara) dengan tidak meminta izin suaminya.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Keluar rumah tanpa izin antara perbuatan nusyuz isteri paling dilaknat Allah SWT. Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Apabila seorang isteri keluar rumah, sedangkan suami membencinya (tidak mengizinkannya), dia akan dilaknat semua malaikat di langit dan semua apa dilaluinya (di bumi) selain daripada jin dan manusia, sehinggalah dia kembali semula (kepada rumah suaminya).” (Hadis riwayat Thabari)

Isteri yang meminta cerai tanpa sebab dan menolak permintaan suami untuk bersetubuh juga boleh nusyuz. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Mana-mana isteri yang meminta suaminya menceraikannya (tanpa sebab yang dibenarkan syarak) haram baginya bau syurga.” (Hadis riwayat Abu Daud dan Tirmidzi)
Dari segi undang-undang syariah, diperuntukkan bahawa nusyuz isteri adalah suatu jenayah.

Seksyen 130 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam memperuntukkan: “Seseorang perempuan yang sengaja tidak menurut sesuatu perintah yang diberi suaminya yang sah mengikut hukum syarak adalah melakukan suatu kesalahan dan hendaklah dihukum denda tidak melebihi RM100 atau, bagi kesalahan kali kedua atau kali kemudiannya, denda tidak melebihi RM500.”

Walau bagaimanapun, nusyuz isteri itu gugur setelah beliau bertaubat dan kembali taat kepada suaminya. Puan kembalilah kepada suami, mohon ampun dan bertaubat nasuha.
Jawapan disediakan Setiausaha Agong Persatuan Peguam Syarie Malaysia

No comments:

Post a Comment

Pentadbiran Pusaka : Pinda akta, enakmen di bawah mahkamah syariah – PGSM

Pinda akta, enakmen di bawah mahkamah syariah – PGSM Oleh SITI AISYAH MOHAMAD  Sinar Harian, 25 September 2023 Musa Awang SHAH ALAM - Pent...