Saturday, August 14, 2010

Misyar dari perspektif perundangan

Utusan Malaysia 30/05/2006

Oleh NORAZLITA MOHD. SIES (WARTAWAN UTUSAN)

Apabila timbul sesuatu isu, banyak golongan tertentu menyuarakan persetujuan dan tidak kurang pula yang mengkritik sambil meluahkan pandangan peribadi terhadap isu berkaitan.

Misalnya, sebaik sahaja Pensyarah Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, Prof. Datuk Dr. Mahmud Zuhdi Abdul Majid memberikan cadangan supaya golongan lelaki dibenar mengamalkan perkahwinan misyar bagi mengatasi masalah ramai wanita tidak berkahwin, ramai pihak yang memberikan respons mengikut persepsi masing-masing.
Keprihatinan Menteri di Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil yang tidak mahu mempromosikan perkahwinan misyar kepada masyarakat negara ini kerana dikhuatiri akan mendatangkan implikasi negatif, menggambarkan bahawa kementerian tersebut tidak pernah ‘tidur’ dan sentiasa peka terhadap nasib kaum wanita.

Dalam usaha Mahmud Zuhdi mencanangkan syor tersebut, mungkin ada yang terlupa atau terlepas pandang apakah kesan yang ditinggalkan dari sudut perundangan seandainya syor tersebut diterima.
Bagaimana pula, wanita yang bakal ‘menanggung beban’ (psikologi dan emosi) itu ditakdirkan daripada kalangan ahli keluarga atau sahabat kita sendiri.
Bagi memahaminya, Setiausaha Agung Persatuan Peguam Syarie (PGSM), Musa Awang sempat memberikan sedikit buah fikiran yang patut difikirkan terlebih dahulu oleh semua pihak sebelum menerima sesuatu pandangan dengan ‘membuta tuli’.

Ketika diminta memberikan pandangan peribadi mengenai perkahwinan misyar, Musa berkata: “Saya tidak begitu bersetuju dengan pendekatan sedemikian sebagai salah satu jalan (cara) untuk mengatasi masalah di kalangan wanita yang tidak berkahwin.
Ini kerana saya khuatir ia akan menindas atau menganiaya nasib kaum wanita sendiri di kemudian hari disebabkan terlalu ‘terdesak’ untuk bersuami.”

Persetujuan
Secara peribadi Musa juga mengatakan, sebelum pendekatan tersebut dibuat, perlulah ada persetujuan bahawa suami tidak akan memberi nafkah zahir kepada isterinya seperti yang dipraktikkan dalam perkahwinan normal. Dan, isteri bersetuju serta tidak mempunyai bantahan langsung mengenainya.
Tetapi sebelum perkahwinan misyar dilaksanakan beberapa perkara perlulah diteliti dan dihalusi daripada kesan atau efek yang bakal ditanggung. Ringkasnya, ia tidaklah semudah yang diucapkan.

Misalnya, menurut Musa, kedua pihak mestilah membuat perjanjian secara bertulis sebelum berkahwin tetapi terma-termanya akan berkuat kuasa selepas perkahwinan berlaku. Dan, tempoh perjanjian adalah sah sepanjang perkahwinan ataupun untuk waktu tertentu selama mana suami tidak mampu menanggung nafkah.

Namun apakah risiko yang bakal ditanggung oleh wanita apabila pada suatu hari kelak mereka tiba-tiba merasakan diri teraniaya ataupun berada dalam situasi yang tertekan, asyik dia sahaja yang menanggung keperluan suami.

Meskipun si isteri berpendapatan tinggi (kaya) namun sebagai manusia biasa, adalah tidak mustahil pada suatu hari nalurinya (isteri) akan meruntun kesedihan. Bila situasi ini berlaku, apakah pembelaan yang dapat disandarkan oleh isteri untuk membela nasib mereka. Tidakkah ia umpama menggali lubang kubur sendiri, soal peguam syarie berkenaan.

“Seandainya timbul masalah rumahtangga, apakah yang boleh dilakukan oleh isteri? Jawapan yang paling ketara ialah, isteri tidak boleh menggunakan alasan nafkah untuk menyokong permohonan cerainya kerana dia telah pun menyatakan persetujuan di dalam perjanjian sebelum berkahwin yang dia bersetuju untuk menanggung suaminya,” ujar Musa.

Jika perkahwinan misyar dilaksanakan, tambah Musa, lafaz taklik di dalam sijil nikah negeri-negeri juga terpaksa dipinda. Ini kerana, kebanyakan lafaz taklik meletakkan nafkah sebagai syarat. Iaitu seandainya suami tidak dapat memberi nafkah lebih empat bulan, isteri boleh memohon cerai.

Mungkin ada pihak yang mencebik dan menganggap pindaan pada taklik dalam sijil nikah suatu yang mudah, kerana ia pindaan semata-mata.

Seperkara lagi yang perlu difikirkan, pendekatan tersebut mendorong suami menjadi dayus dan menggalakkan mereka untuk lepas tangan dalam soal tanggungan.
“Isteri pula umpama nakhoda dalam rumah tangga dan mungkin akan timbul golongan Queen Control dalam perkahwinan kerana mereka lebih dominan berbanding suami,” tegas Musa.

Stigma
Situasi tidak sihat ini akan mengundang masalah dalam rumah tangga dan masalah sosial. Selain itu, tanpa kita sedari, ia akan mewujudkan stigma di kalangan anak-anak lelaki bahawa isteri menanggung suami yang mungkin akan dipraktikkan oleh mereka apabila mendirikan rumah tangga kelak.
Lama-kelamaan, akan lahirlah generasi Malaysia yang ‘isteri menanggung suami’ ataupun ‘emak menanggung ayah’, tegas beliau.
Di samping itu juga, tegas Musa, perkahwinan misyar memang berlawanan dengan fitrah ciptaan Allah seperti yang dinyatakan dalam surah An-Nisa’ ayat 1: Dan, lelaki pada dasarnya lebih kuat atau berkuasa ke atas wanita.
“Saya hanya bersetuju jika perkahwinan misyar dibenarkan dalam keadaan khas sahaja dan bukannya dijadikan amalan ataupun peruntukan dalam undang-undang,” tegasnya lagi.
Beliau juga menasihati wanita-wanita di luar sana agar jangan membuat pilihan sekadar ‘tangkap muat sahaja’ hingga merendahkan martabat mereka.

No comments:

Post a Comment

Kelantan Lulus Hukum Sebat Khalayak Ramai, PINDAAN TAK BERCANGGAH PERLEMBAGAAN

Berita Harian Jumaat, 14 Julai 2017 KELANTAN LULUS HUKUM SEBAT KHALAYAK RAMAI Pindaan tak bercanggah Perlembagaan Pindaan ...